Pengenalan Diri - TIPS & PANDUAN SURIBISNES (WAHM & SOHO)

Wednesday, 16 September 2015

Pengenalan Diri

Entri #1

Teks      : Nazihah Zulkifli

Gambar  : Nazihah Zulkifli


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Syukur kehadrat Allah SWT kerana sekali lagi Dia telah mempermudahkan laluan untuk saya merealisasikan salah satu impian saya iaitu mempunyai blog sendiri. Memang sudah lama hajat di hati untuk mempunyai blog sendiri namun kerana kurangnya ilmu dalam ‘blogging’ hajat terpendam begitu saja. Ok, sebelum saya meneruskan penulisan, lebih manis jika saya memperkenalkan diri terlebih dahulu.

Alhamdulillah, nama yang diberi ialah Nazihah Zulkifli atau lebih mesra dengan panggilan Nazihah atau Jihah dikalangan keluarga dan teman-teman. Saya dilahirkan di Pulau Pinang dan merupakan anak sulung daripada empat orang adik beradik. Ketika saya menulis entri ini, sudah beberapa kali hasrat untuk mula menulis tertangguh dek kerana kekangan masa di pejabat dan juga rumah. InshaAllah selepas ini saya akan merancang dan membahagikan masa dengan lebih baik lagi. Semoga istiqomah dalam bidang penulisan. InshaAllah.

Saya memulakan pendidikan awal di sebuah Tadika Kemas di Parit Buntar dan Sekolah Rendah Methodist Parit Buntar, Perak. Pada tahun 1991 saya telah mengikut keluarga berpindah ke Butterworth, Pulau Pinang dan bersekolah di Sekolah Rendah Convent Butterworth. Pada tahun 1994, ibu saya mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran peringkat Sarjana jadi sekali lagi saya berpindah mengikut keluarga ke Subang Jaya dan bersekolah di Sekolah Rendah SS 19 Subang Jaya, Selangor. Setelah tamat UPSR, saya menyambung pengajian di Sekolah Menengah Seafield Subang Jaya sebelum diterima masuk ke salah sebuah sekolah berasrama penuh di Pulau Pinang.

Setelah tamat SPM, saya telah diterima masuk ke Universiti Putra Malaysia (UPM) dan meneruskan pengajian selama 7 tahun iaitu 3 tahun diperingkat diploma dan 4 tahun di peringkat ijazah sarjana muda. Rezeki untuk memasuki alam pekerjaan agak cepat. Alhamdulillah saya di panggil untuk menghadiri temuduga dan seterusnya diminta melaporkan diri setelah tamat latihan industri.

Pada tahun 2009, bermulalah episod baru dalam hidup saya di mana saya telah memulakan kerjaya saya di salah sebuah syarikat perladangan. Pada tahun yang sama juga saya menamatkan zaman bujang. Perkenalan selama 6 tahun di UPM berakhir dengan ikatan yang sah pada 17 Mei 2009. Namun seminggu selepas pernikahan, suami mendapat tawaran bekerja di sebuah Kolej Universiti di Melaka sebagai pensyarah. Bermulalah episod hidup kami sebagai pasangan jarak jauh.

Tugasan saya memerlukan saya bekerja diluar kawasan. Rutin harian saya bukan sahaja di pejabat tetapi saya juga lebih banyak menghabiskan masa di luar kawasan terutamanya di Kedah. Kerana tidak tinggal bersama suami dan kami hanya berjumpa pada hujung minggu. Saya banyak habiskan masa kerja di luar kawasan dan akan berjumpa dengan suami pada setiap hujung minggu.

Alhamdulillah, pada tahun 2014 saya disahkan hamil untuk kali ke-3 setelah mengalami keguguran selama 2 kali pada tahun 2012 dan juga 2013. Pada masa yang sama suami juga mendapat tawaran kerja baru di PKNS Shah Alam. Kegembiraan kami hanya Allah SWT yang tahu setelah penantian kehadiran cahaya mata selama 3 tahun. Benarlah kami merancang tetapi Allah swt sebaik-baik perancang, Dia lebih tahu apa dan bila masa yang terbaik untuk hamba-hambaNYa. Atas nasihat pihak doktor, saya perlu kurangkan perjalanan jauh kerana pengalaman keguguran sebelum ini.

Disebabkan oleh kekangan masa, saya lebih suka membeli secara ‘onlline’, kerana pada saya ianya lebih mudah dan menjimatkan masa, semuanya boleh diselesaikan di hujung jari sahaja. Saya banyak membeli pakaian kerja, bahan bacaan dan hampir kesemua barang keperluan bayi saya dibeli secara online. Kerana minat saya membeli secara online, ada kawan-kawan pejabat yang cadangkan saya turut berniaga secara online. Namun ketika itu, hati masih belum terdetik dan tiada keyakinan untuk mencari pendapatan sampingan. Mungkin juga kerana keadaan kerja tidak begitu memberi tekanan dan keadaan ekonomi juga agak baik, niat untuk mencari pendapatan sampingan atau berhenti kerja seolah-olah terpendam begitu sahaja.

Namun semasa saya mula melakukan persiapan untuk menyambut kelahiran anak sulung, saya dapat rasakan saya sangat minat dengan barang-barang penyusuan badan, bukan itu sahaja saya turut membeli dan kumpul bahan bacaan mengenai ilmu penyusuan dan juga keibubapaan. Ketika itu juga saya telah berazam dan menyimpan impian untuk menyusukan anak sulung saya sehingga dia berumur 2 tahun inshaAllah. Saya yakin semua ibu mahukan yang terbaik untuk anak yang dikasihi.

Ketika saya masih di dalam pantang juga saya telah mula membeli produk-produk pendidikan awal bayi. Antara produk yang awal saya beli ialah produk seperti softbook, flashcard, Holy quran apple learning, ipad alquran dan macam-macam lagi. Timbul pula minat untuk mendalami pendidikan awal bayi dan kanak-kanak. Sejak itu saya mula sedar yang saya juga amat meminati ilmu penyusuan dan pendidikan awal bayi dan kanak-kanak.

Dengan izin Allah SWT, saya mula mencari peluang untuk memulakan perniagaan terutamanya barangan keperluan bayi, kanak-kanak dan ibu dengan menyertai program dropship. Saya turut mendaftarkan perniagaan dengan SSM dengan nama Ummi Honey Souq Enterprise. Namun, bekerja sambil berniaga sangat mencabar kekuatan minda dan fizikal.

Namun suami lah insan yang sentiasa membantu dan berkongsi idea-idea dalam memulakan perniagaan kami. Sokongan dan dorongan dari suami sangat-sangat membantu. Saya mula mencari bahan bacaan untuk dijadikan rujukan. Selain itu saya juga mula menyertai seminar dan kumpulan sokongan yang berkaitan untuk menambah ilmu.

Bagaimana saya mendapat tahu tentang Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR) ??? Semuanya bermula apabila saya terjumpa dengan buku yang sangat menarik minat saya ketika itu iaitu buku BEKERJA & BERNIAGA : PANDUAN KEJAYAAN UNTUK SURI hasil tulisan Puan Azura Abdullah. Saya mula ikuti Puan Azura Abdullah di FB nya dan menghantar ‘pm’ menyatakan minat untuk mendapat buku hasil tulisan nya itu. Daripada FB Puan Azura Abdullah saya jumpa Pn Masayu Ahmad dan yang lain-lain. Tetapi ketika itu hati masih belum terbuka untuk menyertai ABDR.

Rencana Allah itu Maha Luas, pada suatu hari saya menerima ‘friend request’ daripada Puan Anys Idayu Zakaria di Facebook. Sebelum itu saya telah banyak menghabiskan duit membeli ebook untuk memulakan perniagaan, namun ketika itu tidak terlintas di fikiran untuk berblog walaupun ebook sudah berada di tangan. Alhamdulillah, ditemukan dengan Puan Anys yang sering berkongsi mengenai pemasaran online melalui blog sangat menarik perhatian dan minat saya, lalu saya memberanikan diri untuk menghubungi Puan Anys dan bertanyakan tentang ABDR. Sedikit demi sedikit, saya mula mengumpul maklumat tentang ABDR.

InshaAllah saya akan menjadikan ABDR sebagai salah satu platform untuk saya mencari dan berkongsi ilmu keibubapaan, pendidikan awal bayi dan kanak-kanak, ilmu penyusuan (breastfeeding) dan juga bisnes online. Seterusnya membuka ruang untuk saya menjana pendapatan dari rumah sambil menjaga dan mendidik sendiri anak-anak, amanah Allah dunia dan akhirat. Menjadi impian setiap ibu untuk membentuk anak-anak menjadi hamba Allah yang taat dan berperibadi tinggi. Saya berharap bimbingan dan tunjuk ajar daripada guru-guru yang lebih berpengalaman dapat dijadikan pembakar semangat dan panduan yang berguna di dunia dan akhirat yang kekal abadi. Terima kasih untuk semua yang sudi memberi tunjuk ajar dan menerima diri ini seadanya terutama Puan Anys Idayu Zakaria.

InshaAllah saya mempunyai impian dan saya berharap impian saya itu akan dipermudahkan Allah SWT. Aamiin inshaAllah. Buat masa ini saya akan cuba mencari ilmu sebanyak yang mungkin dan berkongsi bersama teman-teman yang singgah di blog saya ini. Semoga segala ilmu yang dikongsi dapat memberi manfaat bersama dan kebaikan kepada kita semua. InshaAllah.

Saya bukanlah orang yang pakar dan berpengalaman luas di dalam bidang penulisan. Namun, saya akan kongsikan maklumat dari hasil pembacaan dan carian dari pelbagai sumber. Sebarang komen dan maklumbalas dari para pembaca amat saya alu-alukan agar sama-sama kita mendapat manfaatnya. Doakan agar penulisan ini mendatangkan manfaat seterusnya dapat menjadi pencen kubur saya di sana kelak… Aamiin…. Semoga usaha yang sedikit ini mendapat keberkatan olehNya.

Salam perkenalan dari saya. Jumpa di entri seterusnya.. :)

Wassalam.


Salam sayang,
Nazihah Zulkifli
16 September 2015
1:06 am


No comments:

Post a Comment